Kertas 1: Pengaplikasian Sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM) dalam Pengurusan Bencana
Pembentang : Encik Nazaruddin bin Sharaai, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Abstrak :
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi peneraju pengurusan bencana sentiasa melaksanakan inisiatif-inisiatif penambahbaikan agar risiko kejadian bencana dikurangkan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana dapat ditingkatkan. Salah satu elemen yang turut diberi perhatian adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan data-data yang berkaitan dengan bencana. Sebagai langkah seterusnya, NADMA telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi menggunakan platform Defence Geospatial Information Management (DGIM) yang telah dibangunkan oleh pihak JUPEM. DGIM menggabungkan beberapa jenis format data digital dari pelbagai agensi menggunakan aplikasi Geographic Information System (GIS). Melalui DGIM, NADMA telah membangunkan Dashboard Pengurusan Bencana (DPB) yang beroperasi 24 jam di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi memantau situasi bencana di sesuatu lokasi dengan lebih berkesan serta menjadi rujukan utama penyediaan laporan bencana. Sehubungan dengan itu, sesi pembentangan ini akan mengupas secara ringkas mengenai kepentingan aplikasi tersebut bagi menguruskan bencana melalui perkongsian data spatial dari pelbagai agensi.