Topic outline

  • Kertas 1: Statistik dan Geospatial: Pemacu Malaysia Madani?

    Pembentang : Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

    Abstrak : 

    Data geospatial diperlukan secara intensif merentasi semua sektor. Pihak kerajaan, swasta, akademia dan orang awam ialah pengguna teknologi dan perkhidmatan geospatial di negara ini. Sejajar dengan matlamat menjadikan rakyat sebagai keutamaan kerajaan, perkongsian maklumat geospatial yang cekap dan berkesan oleh agensi kerajaan dapat membantu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di semua sektor. Pembentangan ini merangkumi aplikasi geospatial dalam proses pengumpulan, penyusunan dan penyebaran statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Pembangunan rangka kerja yang menerapkan elemen geospatial dilaksanakan dan dikukuhkan untuk pengintegrasian dengan maklumat statistik bagi kegunaan perancangan negara dalam semua sektor. Keperluan terhadap data dan analisis geospatial DOSM yang berkualiti dan berintegriti amat penting agar kerajaan dapat merancang dasar bagi memacu kestabilan sosio ekonomi negara Malaysia Madani.

  • Kertas 2: Geospatial untuk Penanaman Sawit Lestari

    Pembentang : Puan Nordiana binti Abd AzizLembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

    Abstrak : 

    Teknologi geospatial yang dilengkapi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan geo-lokasi telah digunakan untuk pelbagai aplikasi pengurusan ladang sawit. Salah satu tujuan teknologi ini adalah untuk menambah baik proses penyimpanan dan paparan data dalam bentuk digital. Sebagai contoh, maklumat peta ladang, profil tanah, kadar dan kekerapan pembajaan, pengurusan perosak dan penyakit, amalan pertanian baik (GAP), pengesyoran rekomendasi pembajaan dan lain-lain dapat disimpan dan diintegrasi dengan teknologi geospatial. Penilaian GAP merupakan salah satu komponen utama di dalam Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO). GAP membantu meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) dan membantu pekebun kecil dan peladang sawit meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan selari dengan konsep kelestarian alam sekitar. Ini sekaligus, dapat memudahkan aktiviti perancangan, penilaian dan proses membuat keputusan di dalam pengurusan ladang.

    • Kertas 3: Pembangunan MSDI Malaysia dalam Menyokong Pembangunan S-100 untuk Komuniti Maritim

      Pembentang : Kdr Razimi bin Mohd Damri TLDM, Pusat Hidrografi Nasional (PHN)

      Abstrak : 

      Infrastruktur Data Spatial Marin (MSDI) merupakan infrastruktur digital yang menyokong pencarian, akses, pentadbiran, pelepasan, penggunaan semula, dan pemeliharaan data hidrospasial. MSDI menyediakan capaian data daripada organisasi awam, swasta serta Government Linked Company (GLC) kepada pengguna dalam disiplin berkaitan marin seperti hidrografi, oseanografi, meteorologi, dan sektor ekonomi maritim. Penggunaannya merangkumi aspek keselamatan pelayaran, aktiviti marin dan akuatik, pembangunan sosio-ekonomi, keselamatan dan pertahanan, penyelidikan saintifik, dan kelestarian ekosistem marin. Pusat Hidrografi Nasional (PHN) yang merupakan obligasi kepada International Hydrographic Organization (IHO) untuk membangunkan MSDI nasional seterusnya menyokong pembangunan kebangsaan di bawah program MyGDI. Walau bagaimanapun, pembangunan ini tidak terlepas dari cabaran dan had. Di bawah MyGDI, terdapat 13 kategori data dan 60 sub-dataset yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI untuk membangunkan MSDI Kebangsaan. Usaha ini disokong melalui kerjasama 24 agensi kerajaan, kementerian, dan jabatan berkaitan. Secara dasarnya, data ini bakal digunakan untuk pembangunan S-100 International Hydrographic Data Model untuk komuniti maritim yang telah sedang dibangunkan oleh 5 pertubuhan antarabangsa iaitu IHO, International Maritime Organization (IMO), International Association of Marine Aids to Navigation and Lighthouse Authorities (IALA), World Meteorological Organization (WMO), dan International Electrotechnical Commision (IEC).


    • Kertas 4: Transformasi Digital ke Arah Keterjaminan Makanan

      Pembentang : Puan Khazana binti IbrahimJabatan Pertanian Malaysia (DOA)

      Abstrak : 

      Jabatan Pertanian merupakan Pemegang Amanah maklumat tanah negara. Bagi merealisasikan Transformasi Digital di dalam sektor agromakanan negara Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif menyediakan platform dan khidmat teknikal melalui pewujudan Sistem GeoTanih, Modul SoilFert dan Sistem GeoTanaman. Sistem GeoTanih merupakan satu sistem bagi menguruskan data geospatial tanah secara berpusat dan sistematik yang boleh dicapai oleh pelanggan secara atas talian. Sistem ini meliputi data kesesuaian tanah untuk tanaman, data fizikal dan kimia tanah, kompendium siri tanah, daftar tanah serta galeri. Data dalam sistem ini sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa bagi memenuhi piawaian penilaian dan pengelasan data tanah negara. Seterusnya bagi pengurusan tanaman khususnya tanaman padi, Jabatan Pertanian menjalankan Program Pengurusan Nutrien Lokasi Spesifik (Soil Profiling) dimana status kesuburan dan keupayaan tanah sawah dinilai serta dianalisis secara fizik dan kimia. Taburan kawasan berstatus kesuburan rendah di nilai dan penelitian faktor penyumbang penurunan kualiti tanah dikenalpasti. Syor pemulihan tanah dan syor pembajaan di kawasan yang berstatus kesuburan rendah ini akan disediakan bagi meningkatkan tahap kesuburan, kualiti dan potensi tanah. Maklumat spatial ini dipaparkan di dalam Modul SoilFert Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeo Padi) untuk dijadikan rujukan dan pelan tindakan kepada pengurusan jelapang ke arah meningkatkan hasil pengeluaran padi negara. Bagi membangunkan pangkalan data Geospatial Inventori Tanaman Negara bersepadu yang teratur, seamless dan sentiasa dikemaskini ke arah Transformasi Pertanian Digital, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan Sistem GeoTanaman. Sistem GeoTanaman merupakan satu sistem yang dibangunkan menggunakan konsep service oriented architecture yang boleh dicapai melalui laman sesawang dan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat tanaman makanan negara malah untuk mengurus serta menganalisis maklumat dan data guna tanah bagi seluruh Semenanjung Malaysia. Sistem ini menyediakan maklumat lot ladang dan guna tanah semasa yang lebih tepat dan bersifat real time dalam bentuk digital yang mempunyai koordinat lokasi atau lebih dikenali sebagai maklumat geospatial.

    • Kertas 5: Pembangunan dan Penggunaan Aplikasi MySejahtera dalam Menangani Wabak COVID-19

      Pembentang : Dr. Maheshwara Rao a/l Appannan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

      Abstrak : 

      Wabak COVID-19 bertapak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Bagi membendung wabak ini, kerajaan telah mengambil satu inisiatif dengan membangunkan satu aplikasi mudah alih untuk kegunaan utama seluruh rakyat pada 20 April 2020. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan aplikasi kesihatan yang dinamakan MySejahtera Antara fungsi utama aplikasi MySejahtera adalah untuk mendaftar masuk atau ‘Check-In’ ketika pengguna mengunjungi tempat baru melalui kaedah pengimbasan kod QR sebagai satu langkah pengesanan kontak pintar yang efisyen dan automatik. Ia juga membolehkan individu yang dikenal pasti sebagai kes positif COVID-19 untuk menetapkan maklumat kontak rapat mereka serta berfungsi sebagai platform untuk promosi pendidikan kesihatan sambil memaparkan statistik harian COVID-19 yang dikemas kini setiap hari. Seramai 49,836,365 kontak rapat telah dikesan melalui aplikasi MySejahtera sepanjang pandemik, dan ini tidak mungkin dapat dilakukan dengan kaedah penjejakan kontak secara manual. 95% daripada jumlah kes positif COVID-19  yang direkodkan di Malaysia juga dipantau secara maya dan menyeluruh melalui aplikasi MySejahtera. MySejahtera telah digunakan dalam pengurusan program vaksinasi COVID-19, memproses sebanyak 72,677,593 dos vaksin COVID-19 dan menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara yang paling cepat memberikan vaksinasi kepada 98% populasi dewasa di Malaysia dengan bantuan 12,424 PPV yang berdaftar.